| MENCURI, TETAPI BERAZAM MENGGANTI SEMULA |
SOALAN:
Saya ada seorang kawan yang suka mencuri. Menurutnya, dia mencuri kerana
terdesak. Namun, dia berazam akan menggantikan kembali wang yang dicurinya apabila
dia bekerja kelak. Untuk pengetahuan, dia juga mengambil duit ibu bapanya untuk
membeli barang keperluan walaupun mereka berdua telah memberikan sebuah kehidupan
yang sempurna kepadanya. Apakah hukumnya?
puteri
hidayah
balqis_cadburygurlz@yahoo.com.my
JAWAPAN:
Mencuri hukumnya berdosa. Makanan hasil curian akan menyebabkan darah daging
bercampur dengan hasil yang haram. ALLAH telah menjelaskan hukuman yang patut
dikenakan di dunia bagi sesiapa yang mencuri sebagaimana firman-NYA:
"Orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah daripada ALLAH. (Ingatlah) ALLAH Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." – Surah al-Maaidah: 38.
Mencuri kerana terdesak tidak mengapa. ALLAH tidak pernah menzalimi hamba-NYA disebabkan terpaksa. Kawan saudari juga berazam akan menggantinya kembali setelah bekerja. Dia wajib menunaikan nazarnya itu. Jika sebaliknya, dia tetap berdosa kerana melanggar janji.
Pernah berlaku di zaman Nabi s.a.w yang mana jin yang menyerupai manusia telah mencuri makanan yang diletakkan di dalam baitulmal. Tetapi baginda tidak pernah memerintahkannya agar dikenakan hukuman. Wallahu a'lam.
| HUBUNGAN SEKS 'RINGAN' |
SOALAN:
Kawan saya sudah mempunyai teman lelaki. Menurutnya, dia pernah tidur sekatil
dengan teman lelakinya tetapi tidak melakukan seks 'berat' tetapi sekadar 'ringan-ringan'.
Alhamdulillah sekarang dia telah memutuskan hubungan dengan lelaki tersebut
dan bertaubat.
Adakah
berdosa apabila seorang lelaki dan perempuan tidur sekatil tanpa melakukan hubungan
seperti suami isteri tetapi hanya melakukan 'ringan-ringan'?
Hubungan seperti ini dipanggil hubungan apa?
Apabila ingin berkahwin, adakah dia perlu memberitahu kepada bakal suaminya?
Adakah dia perlu memberitahu kepada bakal tunang bekas kekasihnya itu?
puteri
hidayah
balqis_cadburygurlz@yahoo.com.my
JAWAPAN:
Pertama, sewajarnya seluruh umat Islam perlu ketahui bahawa tidak ada kebenaran
daripada syarak membenarkan seks ringan atau seks berat. Apa sahaja yang digelar
hubungan dan perkara yang boleh menjerumuskan diri ke arah zina tetap diharamkan.
Selagi tidak bergelar suami dan isteri, haram lelaki dan wanita berdua-duaan
sambil berpegangan tangan. Apatah lagi tidur sekatil.
ALLAH Maha Pengampun selagi hamba-hamba-NYA bertaubat. Sebesar mana dosa yang dilakukan sama ada zina, minum arak, mencuri dan sebagainya pasti diampunkan kecuali syirik. Firman ALLAH S.W.T: "Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutuka-NYA dengan sesuatu pun dan akan mengampunkan dosa selain kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA (menurut peraturan hukum-hukum-NYA) dan sesiapa yang mempersekutukan ALLAH dengan sesuatu pun, sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh." – Surah al-Nisa': 116.
Kedua, seseorang tidak perlu membuka aibnya setelah ditutup oleh ALLAH. Malah, Nabi s.a.w melarang seseorang membuka iab saudara seagamanya. Si suami wajib menjaga keaiban isteri setelah mengetahuinya. Begitu juga sebaliknya, si isteri wajib menutup keaiban suaminya setelah mengetahui keiaan suaminya. Apalah hak seorang manusia untuk memarahi dan tidak mahu menerima takdir ALLAH baginya. Sedangkan, seorang wanita yang telah bertaubat diterima oleh ALLAH. Patutkah hamba ALLAH tidak mahu menerimanya.
Ketiga, kawan saudari tidak wajar memporak-purandakan keadaan. Bertaubatlah kepada ALLAH kerana DIA telah menjaga keaiban saudari dan bekas teman lelakinya itu daripada pengetahuan umum. Jagalah keaiban itu dan jangan cuba dibukanya. Semoga ALLAH merahmati mereka berdua kerana telah bertaubat. Wallahu a'lam.
| SOLAT DALAM KEADAAN BERPENYAKIT |
SOALAN:
Apakah hukum jika sesuatu keluar dari qubul dan dubur?
Bagaimana jika seseorang mengeluarkan angin dari duburnya, walaupun dia telah
mengambil wuduk lebih dari lima kali?
Bagaimana pula jika dia terus melakukan solat itu. Adakah dikira darurat?
nur
farahin shariff
yayin_girlz@yahoo.com
JAWAPAN:
Pertama, masalah sesuatu yang keluar dari qubul dan dubur terlalu banyak seperti
air mani, air mazi, air wadi, air kencing, tahi, darah haid, darah istihadoh
dan darah nifas. Kesemua perkara berikut berbeza hukumnya. Umpamanya, jika air
mani keluar seseorang wajib mandi junub. Jika air kencing pula dia wajib membasuhnya.
Kedua, mengeluarkan angin dengan sengaja tanpa keuzuran jelas membatalkan wuduk. Namun, jika penyakit berlanjutan seperti kembung sekali sekala tidak mengapa. Dalam hal ini, seseorang perlu berwuduk setiap kali ingin menunaikan solat. Tidak perlu menghiraukan kentut yang keluar.
Ketiga, sah solat orang yang bernyakit seperti wanita yang mengalami darah penyakit (istihadoh). Begitu juga dengan lelaki yang mengalami kencing tidak lawas (dedas) dan sebagainya. Walahu a'lam.
| DEDAH AURAT UNTUK PERUBATAN |
SOALAN:
Isteri saya mengalami masalah kegemukan. Saya berhasrat ingin menghantar dia
ke pusat rawatan menguruskan badan. Masalahnya, kebanyakan pusat-pusat menguruskan
badan yang baik dikendalikan oleh wanita-wanita berbangsa cina (bukan islam).
Mungkin timbul di sana masalah aurat terdedah semasa rawatan. Apakah hukum mendedahkan
aurat kepada bukan muslim untuk tujuan rawatan seperti di atas.?
salleh
ahmad
dien69@gmail.com
JAWAPAN:
Pertama, saudara perlu tahu had aurat seorang lelaki dan wanita. Mereka tidak
boleh membuka aurat atau membenarkan ia disentuh kecuali atas sebab yang dibenarkan
dalam syarak. Aurat paling berat ialah qubul dan dubur. Manakala aurat paling
ringan seperti kedua-dua belah peha lelaki terdedah sesama mereka.
Kedua, menurut kaedah usul fikah diharuskan melakukan perkara yang diharamkan dalam syarak sekiranya boleh mendatangkan mudarat. Oleh itu, diharuskan membuka aurat untuk tujuan menguruskan badan kerana kegemukan boleh mendatangkan pelbagai penyakit. Ulama tidak berselisih pendapat mengharuskan doktor lelaki melihat aurat pesakit wanita. Begitu juga sebaliknya dengan syarat mereka hendaklah amanah dan menutup keaiban pesakit itu.
Cadangan saya agar saudara mendahulukan doktor perempuan atau pusat perubatan Islam sebelum menemui doktor lelaki atau pusat perubatan bukan Islam. Setelah berusaha, tidak mengapa menggunakan perkhidmatan mereka. Wallahu a'lam